Saturday 22 August 2015

Tidak disenandung

Saya hari itu, membuang ke tepi pintu, lalu melempar senyum ke wajah bak rembulan yg mengintip di situ. Dan daripada wajah itu, saya membaca sesuatu.
Itu wajah anak sepupu saya.     Tubuhnya sudah menokok beberapa inci. Namun, wajahnya tetap ceria seperti dahulu. Wajah yg menciptakan rangkaian cinta bahagia. Rambutnya dahulu yg sering sahaja lungsur ke dahi dan melitupi mata,sudah elok ditata. Mungkin ditata oleh ibunya.
walaupun begitu,tetap juga dengan tangan halusnya,dia menyelak rambutnya ke belakang, sudah jelas menjadi kebiasaan. Dia ikut mengembangkan senyumnya, lalu meninggalkan lekuk pada kedua-dua belah pipinya.
Dia menggerakkan kakinya laju ke arah saya dengan wajah yang tetap memantulkan apa isi hatinya. Tanpa gelembung pertanyaan, dia terus membenamkan tubuhnya di sofa, merapat ke arah saya. Dia masih tersenyum. Luar biasa..
Dia menggerak perlahan kepalanya ke kiri, ke kanan dan di situ saya dapat baca, ramahnya tidak luntur,tidak lenyap walaupun jeda waktu kami tidak bersua suara. Sudah bermuara.
“Bonda beritahu, saya perlu jadi seperti jarum jam yg menunjukkan jam, bukan jarum minit dan bukan juga jarum saat. Tetapi bonda tidak bilang sebabnya. Abang tahu kenapa?” soalnya selepas beberapa waktu berbasa-basi berkenaan masa yang ditinggalkan. Saya menarik nafas panjang. Soalannya itu beraroma pekat, lalu menakar rasa yg dalam ke dalam hati.
“Mungkin bonda mahukan kamu diam seperti jarum jam itu. Tidak seperti jarum saat yang sentiasa bergerak, lalu membuatkan dia hilang tenang kerana asyik memerhati kamu.” jawab saya tersenyum. Anak sepupu saya itu menutup mulutnya. Ada sesuatu yg ditahan tahan, namun dapat saya baca, dia sedang girang tidak kepalang. Saya mengerit dahi lalu bertanya mengapa. Apa yg ada pada jawapan itu sehingga membawa kepada lucu dlm hatinya.
“Maaf,” tutur anak sepupu saya itu sebelum menyambungnya. “Sebenarnya bonda sudah memberitahu jawapannya, dan tadi saya hanya mahu menguji abang,dan jawapan abg tadi menggeser jauh daripada jawapan bonda.” wajah anak sepupu saya masih berona lucu dan saya terus bertanya apa yg ibunya kisahkan.
“Kata bonda, saya perlu menjadi seperti jarum jam yg menunjukkan waktu jam, kerana ia perlambangan manusia hebat yang merendah diri. Ia pendek, tidak mengundang perhatian, tidak ketara, namun cukup penting. Malah pada detik ia bergerak, ia membawa makna yg sangat besar pada manusia. Juga, detik jam dahulu yg akan disebut sebelum minit dan saat. Menurut bonda ia boleh dibuktikan. ”
“Cuba abang pandang jarum jam pada dinding. Apa yang rasa sekiranya berpeluang melihat jarum yg menunjukkan waktu jam itu bergerak? Pasti abang rasa bertuah, rasa dihargai nasib, kerana biasanya jarum jam itu tidak kita pedulikan dan jarang kita berpeluang melihat detik ia bergerak. Namun, tetap ia menjadi perkara paling utama dalam hidup kita. Jadi, bonda mahu saya begitu, merendah diri, tanpa perlu menunjuk,tidak memberitahu saat saya bergerak, namun manusia yg memandang saya pada saat saya bergerak akan rasa bertuah dan dihargai. Itu yg disukai Tuhan dan manusia itu yang akan diberkati olehNya. Merendah diri,” jelasnya panjang lebar.
  Saya memicing mata, fikiran saya berputar, sebelum kembali menyeluruhi wajahnya dan saya tersenyum. Rasa nakal menggelinjang dalam kepala saya. Saya mahu melihat dia membuat wajah galau, kerana wajanhya yg sebegitu, begitu meneduhkan hati. Saya bertanya “Apakah menjadi jarum saat dan jarum minit itu tidak bermakna?”
  Aneh. Anak sepupu saya itu terus sahaja tersenyum. Tidak langsung membuat wajah galau. Saya pula yg mengurut pelipis.
  “Bonda kata, jarum saat dan minit itu tetap juga berharga kerana jarum-jarum itu sebenarnya bekerja untuk jarum jam, dan jarum jamlah yg mengawal mereka. Jarum saat boleh sahaja berhenti, mati, namun jam tetap masih boleh diguna. Jarum minit juga boleh sahaja tidak bergerak lagi, namun jam masih berguna sbg penunjuk waktu, namun apabila jarum jam sudah berhenti,apa maknanya lagi hidup sebuah jam?” terangnya dan soalnya kembali.
  Saya tersenyum sambil menggaru kepala. Kata katanya itu bertapuk tapuk dalam kepala saya, bertebaran menutupi lompong-lompong fikir yang lama mengosong.  
“Bonda kata lagi, tidak ramai manusia yg sebegitu. Sangat berguna dan penting hidupnya kepada manusia dan lain, namun kerana ia tidak memaparkan diri, tidak bising, tidak itu dan ini, jadi dia dilupakan, malah sering dipinggirkan. Namun itu yg disukai Allah dan saya yakin bonda saya seorang daripadanya, kerana sering sahaja saya tidak mempedulikan nasihat bonda,” kata anak sepupu saya lagi.
  “Jadi menurut kamu, abang ini seprti apa?” soal saya tersenyum.
  Anak sepupu saya memandang tidak tega, mulutnya seperti kehilangan butir kata, namun dipaksa paksa sebelum berkata, “Abang ini seperti jarum saat.” Pendek.
 
Lalu saya terus terjajar ke belakang dengan nafas yg ditahan sedalamnya.