Wednesday 24 September 2014

Pulau Harapan

Di sebuah pulau nun jauh di tengah lautan digelar Pulau Harapan terletaknya semua jenis perasaan. Ada cinta, pentingkan diri, kekayaan, kesedihan dan banyak lagi.
Pada suatu hari, ditakdirkan pulau itu tenggelam ke dasar laut. Semua perasaan cuba lari menyelamatkan diri ke pulau berhampiran yang lebih selamat. Begitu juga dengan cinta.
Dalam keadaan huru-hara itu, pentingkan diri lalu di hadapan cinta. Cinta pun berkata, “Bolehkah saya menumpang menyelamatkan diri bersama kamu?” Pentingkan diri terus menjawab, “Sampan saya hanya muat untuk diri saya seorang saja. Kalau saya bawa kamu, kemungkinan saya tenggelam ke dasar laut bersama-sama Pulau Harapan.” Pentingkan diri pun terus meninggalkan pulau itu.

Cinta tidak berputus asa lalu dia bertemu dengan kekayaan. Dia memohon pertolongan daripada kekayaan. Kekayaan berkata, “Sampan saya sudah dipenuhi dengan emas, perak, berlian dan harta-harta lain milik saya. Kalau saya bawa kamu sekali di mana saya nak letak harta-harta saya ni?” Khuatir cinta akan mengambil hartanya kekayaan meninggalkan Pulau Harapan dalam sekelip mata.

Cinta letih namun dia tetap gigih mencari bantuan. Sebuah sampan agak kosong dengan penumpang bernama kesedihan lalu di situ. “Sudikah kamu membawa saya lari dari pulau ini ke pulau berhampiran yang lebih selamat?” kata cinta. Kesedihan diam sahaja. Beberapa ketika dia bersuara, “Maaf, saya amat sedih sekarang dan perlukan masa untuk bersendirian.” Kesedihan berlalu dari situ dengan muka muram sekali.
Tidak lama selepas itu, sebuah sampan kecil dengan seorang lelaki tua dan wanita muda lalu di tempat cinta. “Wahai anak muda, marilah dengan saya menaiki sampan tak seberapa ini pindah ke pulau yang lebih selamat.” Tanpa menunggu lama, cinta terus mendapatkan orang tua itu dan mereka bertiga sama-sama berkayuh ke pulau berhampiran.

Setibanya di pulau baru itu, cinta, orang tua dan wanita muda itu membawa hala tuju masing-masing. Mereka langsung tidak sempat untuk berkenalan.
Cinta pun bertanya kepada wanita muda itu. “Kamu kenal siapa orang tua yang menumpangkan kita tadi?” Wanita muda itu menjawab, 
“Dialah masa.”Di saat-saat akhir, harapan turut tenggelam. Pentingkan diri, kekayaan, kesedihan dan perasaan-perasaan lain tidak kekal lama. Semuanya akan berlalu pergi. Hanya masa yang kekal menyaksikan penantian cinta walaupun penantian itu suatu penyeksaan.

-kisah diatas adalah gambaran manusia dalam memahami realiti.
Hasil nukilan seseorang yg menghantar serta ingin difahami isi hatinya lalu ku abadikan di laman blog sbg ingatan.

No comments:

Post a Comment